Advertisements
Intan Serah Kembali Ke Pangkuan Malaysia
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Bintang skuad bola sepak wanita Malaysia, Intan Serah kembali memperkuatkan pasukan itu untuk kempen ASEAN Women’s Cup 2024.

Sebelum ini, Intan atau nama sebenarnya Intan Sarah Anisah Zulgafli tidak dapat menyertai skuad negara untuk dua aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober lalu.

Ini disebabkan beliau pada ketika itu perlu memenuhi komitmen peribadi. Kini, Intan kembali bersama tiga lagi pemain yang dipanggil semula jurulatih Malaysian Tigress, Soleen Al-Zoubi.

Selain bintang Kelana United itu, Nurlyana Soberi, Nurfazira Muhamad Sani dan pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Lauren Hoh Ruyi turut memperkuatkan skuad kali ini.

Daripada 26 pemain yang dipanggil Soleen, 20 daripadanya merupakan pemain yang beraksi menentang Arab Saudi dan Laos di Dubai pada Oktober lalu. Hanya satu muka baru yang dipanggil iaitu pemain Selangor FC, Daliea Eliesa Mohd Hafiz.

Malaysian Tigress bakal menyertai kem latihan pusat yang bermula pada 16 November ini sebelum bertolak ke Laos pada 21 November. Skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Kemboja.

Malaysia akan memulakan kempen ASEAN Women’s Cup 2024 dengan menentang Indonesia pada 26 November. Ini disusuli aksi terakhir kumpulan menentang Kemboja pada 29 November.

Kesemua perlawanan Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional KM16, Vientiane, Laos. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.

Related Articles