Pemain yang berpangkalan di USA bakal membawa cabaran Malaysia bagi aksi berdepan Indonesia dalam saingan AFF Women’s Cup.
Pada Khamis, pengendali skuad wanita kebangsaan, Soleen Al Zoubi telah memanggil seramai 26 pemain bagi menjalani kem latihan pusat bermula Sabtu, 16 November 2024.
Berdasarkan senarai tersebut, Soleen telah mengekalkan 20 pemain dari skuad yang dibawa ke Dubai pada Oktober lalu dan memanggil seorang pemain baharu bagi sesi latihan kali ini.
Pemain baharu yang dipanggil tersebut adalah bintang muda Selangor FC, Daliea Eliesa Mohd Hafiz sementara itu seramai empat orang pemain telah dipanggil semula oleh Soleen bagi memperkuat pasukan.
Nurlyana Soberi, Nurfazira Muhamad Sani dan Intan Sarah Anisah antara yang dipanggil kembali oleh pasukan wanita negara selain pemain yang berkelana ke USA, Lauren Hoh Ruyi.
Lauren Hoh Ruyi kini beraksi bagi pasukan Trinity College di United States setelah meninggalkan Kelana United dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) pada Ogos yang lalu.
Skuad Malayan Tigress yang diundi dalam Kumpulan B bakal memulakan aksi di Piala AFF Wanita 2024 bertemu Indonesia pada 26 November 2024 sebelum berdepan Kemboja 3 hari kemudian.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir pada Isnin, 2 Disember dengan dua pasukan yang menang di peringkat tersebut bakal berentap di final pada 5 Disember.
Manakala, dua lagi pasukan yang tewas di separuh akhir itu akan beraksi dalam aksi penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.