Lagenda bola sepak negara, Safee Sali yakin intensiti yang diperoleh dalam latihan adalah berbeza dengan perlawanan sebenar.
Beliau melihat persembahan perancang tengah negara, Syamer Kutty dibantu oleh peluang beraksi secara kerap di atas padang.
Pemain berusia 27 tahun itu membentuk gandingan mantap bersama Nooa Laine dan Paulo Josue selepas Afiq Fazail dikeluarkan akibat kecederaan.
Safee berpendapat bahawa konsistensi Syamer dibantu oleh aksinya pada peringkat kelab secara konsisten.
“Konsistensi Syamer bermula daripada Penang. Beliau dapat merasai situasi sebenar beraksi di atas padang. Ini kerana dalam latihan berbeza, apabila ada tahap match fitness yang sebenar, merasai intensiti sebenar permainan.
Beliau juga menganggap bahawa asas stamina baik Syamer telah membantu aksinya ketika menentang Filipina di Bukit Jalil.
“Apabila beraksi pada perlawanan peringkat antarbangsa dengan kelajuannya amat berbeza. Dia (Syamer) ada asas stamina daripada perlawanan yang diharungi di kelab.
“Syamer merupakan pemain yang penting buat Malaysia. Dia menghubungkan permainan skuad negara dan ada teknik yang bagus. Saya seronok melihat beliau bermain,” jelas Safee Sali kepada Astro Arena.
Malaysia berjaya mengatasi Filipina dengan keputusan 2-1 dan bakal menentang Lubnan pada 8 September 2024 di Bukit Jalil.