Pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim percaya persefahaman telah dicapai antara kelab-kelab dan Harimau Malaya dalam menentukan barisan pemain ke ASEAN Championship 2024.
Isu kelab memanggil pemain kebangsaan daripada kejohanan itu timbul apabila beberapa pasukan Liga Super memanggil beberapa pemain untuk memperkuat kempen piala mereka.
Terbaru, Sabah FC memanggil Darren Lok, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Dominic Tan untuk aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC.
Irfan yang pernah menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Harimau Malaya berpandangan situasi ini tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif sahaja.
Ini kerana beliau memahami keperluan kelab-kelab membentuk kesebelasan terbaik bila berdepan kejohanan domestik seperti Piala Malaysia.
“Bagi saya, tiada masalah pun kalau kelab nak panggil balik pemain-pemain mereka sebab mereka ada hak dan bukannya saja-saja kelab ingin berbuat begitu.
“Dan saya percaya sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, sudah tentu kelab dan pasukan kebangsaan sudah ada perbincangan sebelum ini berkenaan keluar masuk pemain,” katanya.
Pada masa sama, Irfan juga tidak menidakkan kepentingan skuad Harimau Malaya dan ASEAN Championship yang diadakan di luar kalendar FIFA.
Beliau percaya inilah peluang buat pemain-pemain lain dalam Harimau Malaya untuk tampil dan memberi persembahan terbaik di pentas antarabangsa.
“Bahkan, liga di Indonesia dan Thailand juga tetap berjalan dalam tempoh kejohanan (ASEAN Championship) ini berlangsung dan kita kena tahu, skuad kebangsaan masih ada pemain lain selain pemain yang telah dipanggil oleh kelab itu.
“Jadi, inilah masanya untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing yang sebelum ini mereka mungkin tidak berpeluang pun untuk dipanggil ke skuad negara, dan gunalah peluang yang ada ini”,
“Sekiranya mereka beraksi baik, saya percaya selepas ini akan ada lagi peluang untuk mereka rebut tempat ke kejohanan Kelayakan Piala Asia pula,” ujarnya.
Irfan pernah menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya sebanyak dua kali kepada Claude Le Roy dan Wan Jamak Wan Hassan.
Beliau juga pernah melatih banyak pasukan seperti Selangor FC, Terengganu FC, Penang FC, Persipura Jayapura dan Kuching City.
Malaysia kini fokus untuk aksi ketiga ASEAN Championship 2024 menentang Thailand. Aksi tersebut bakal berlangsung di Stadium Rajamangala pada 14 Disember.