Pertahanan tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Irfan Zakaria telah meluahkan rasa rindu terhadap gaji di dalam satu instagram story di laman instagram peribadi beliau baru-baru ini.
Luahan isi hati yang disuarakan Irfan itu telah mencetuskan tanda tanya para peminat adakah pasukan Kedah kini dibelenggu dengan masalah gaji bagi musim 2024/2025 ini?
“Rindunya dekat gaji. Apa khabar agaknya beliau. Sihat ke? Sakit ke?,” kongsi Irfan dalam satu video pendek yang dimuatnaik di laman Instagram.

Ini bukanlah kali pertama pemain Kedah memberi bayangan sedang berdepan masalah kerana sebelum ini, pemain tengah Kedah, Halim Saari turut meluahkan isi hatinya di Instagram berkenaan masalah yang membelenggu para pemain Kedah.
Pada bulan lalu, Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengesahkan bahawa pemain Kedah kini ditekan masalah di luar padang namun beliau berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan pemain ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Para pemain telah memberi apa yang terbaik di atas padang dalam keadaan banyak masalah menekan mereka di luar padang. Mereka tertekan tetapi mereka terus berjuang. Tidak semua orang boleh lakukan apa yang mereka lakukan ini. Luar biasa,” jelas Tan Sri Daud di laman Facebook rasmi KDA FC.
Sehingga kini tiada perkhabaran terkini mahupun pengumuman rasmi berkenaan masalah dalaman yang dikatakan membelenggu pemain Kedah.