Barisan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini sedang menghadapi masalah yang menekan mereka di luar padang.
Perkara tersebut disuarakan oleh pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook KDA FC baru-baru ini.
Biarpun menghadapi masalah di luar padang barisan pemain Kedah tetap berjuang habis-habisan ketika menyarung jersi keramat Sang Kenari. Perjuangan jitu daripada pemain Kedah itu sangat luar biasa.
“Para pemain telah memberi apa yang terbaik di atas padang dalam keadaan banyak masalah menekan mereka di luar padang. Mereka tertekan tetapi mereka terus berjuang. Tidak semua orang boleh lakukan apa yang mereka lakukan ini. Luar biasa.
Kita semua sedia maklum pasukan Sang Kenari kita bermula awal musim ini dengan segala macam liku dan duri. Alhamdulillah, kita berjaya juga mendapat perlesenan untuk bertarung di musim ini dengan bajet yang dikurangkan hampir 40 peratus daripada bajet musim lepas.
“Bagi saya, biarlah Sang Kenari dapat terus berada di gelanggang perlawanan dan pertandingan daripada tersingkir keluar dari gelanggang. Sekarang, kita sedang berada dalam gelanggang ini dan kita juga sedang berjuang dengan penuh kekurangan dan kelemahan kita.
“Namun, kami kuat dengan sokongan, dokongan dan doa anda semua. Kami masih teruskan perjuangan walaupun dalam serba kekurangan hanya kerana anda semua; peminat, penyokong dan rakyat Kedah Darul Aman keseluruhannya,” jelas Tan Sri Dr. Daud di laman Facebook KDA FC.
Kedah dijadualkan bertemu Negeri Sembilan pada 17 Ogos ini dan ianya merupakan satu momen terbaik buat Sang Kenari kembali ke landasan kemenangan selepas tewas 0-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan sebelumnya.