Jasa bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap sukan sepak takraw mendapat pengiktirafan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Ini selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memuat naik gambar sijil pengiktirafan ISTAF kepada Hannah.
“ISTAF mengiktiraf sumbangan bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam mengangkat martabat sukan sepak takraw di Malaysia serta pentas antarabangsa,” katanya di X.
ISTAF menghargai jasa Hannah memastikan Malaysia bukan saja berjaya menganjurkan Piala Dunia ISTAF 2024 sebagai tuan rumah.
Malah, badan induk itu menghargai usaha beliau memastikan Malaysia menjadi tuan rumah untuk edisi seterusnya yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Mei ini.
ISTAF turut menghargai sokongan Hannah bagi memastikan saingan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 berlangsung dengan jayanya.
Selain Hannah, tekong kebangsaan, Syahir Rosdi turut mendapat pengiktirafan ISTAF baru-baru ini sebagai tekong terbaik dunia.