Isu Status Pemain Baharu Tak Jejas Fokus Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Isu status pemain baharu Harimau Malaya tidak menjejaskan fokus pasukan itu menghadapi Vietnam pada 10 Jun ini.

Perkara ini dinyatakan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski dalam sidang media pra-perlawanan Malaysia-Vietnam.

Selepas lima pemain baharu Malaysia menyertai kem skuad kebangsaan baru-baru ini, sesetengah pihak terutama dari luar negara mempertikai status rasmi mereka.

Ini kerana mereka mendakwa pemain-pemain ini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Malaysia. Malah, ada juga meminta agar FIFA menyiasat Malaysia berhubung status mereka.

Apabila diminta mengulas isu berkenaan, Cklamovski melihat isu tersebut tidak menjejaskan fokus skuad kebangsaan.

“Ia tidak mengganggu kita secara dalaman. Kita sudah membuat persiapan yang bagus dan kita ada pemain baharu yang tiba dari luar negara dan mereka merupakan rakyat Malaysia,” katanya.

“Mereka datang dengan rasa bangga (sebagai rakyat Malaysia) dan anda boleh lihat betapa bangganya mereka setiap kali turun berlatih dan membina suasana kekeluargaan dalam skuad kebangsaan.

“Kita tidak sabar menunjukkannya pada malam esok. Sebagai gangguan, mungkin ia gangguan kepada anda semua (media). Kita seronok membicarakannya dan fokus menjadi satu pasukan yang kuat. Itu yang kita lakukan setiap hari.”

Lima tonggak baharu negara yang tiba dari luar negara ialah Facundo Garces, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo.

Kelibat mereka dijangka ditagih menjelang aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).