Belum reda isu tiket kejohanan pra-musim Piala Harapan anjuran Penang mirip kupon kantin, isu lain pula timbul. Kali ini, ramai penyokong Selangor dan Kedah naik angin apabila tiket yang diberi kepada mereka untuk perlawanan tersebut mirip resit bayaran zakat.
Disebabkan perlawanan Kedah-Selangor menjadi tumpuan ramai, 8,000 tiket perlawanan diperuntukkan untuk perlawanan tersebut habis dijual. Ini mendorong penganjur memperuntukkan 1,000 tiket lagi bagi menampung permintaan.
Tetapi apa yang membuatkan ramai penyokong terkejut ialah rupa tiket tambahan yang diberi. Jika diamati, rupanya persis resit bayaran zakat selepas pembayaran zakat dibuat.
Ini membuatkan Ultras Penang mengamuk dan menganggap pengurusan Penang tidak profesional dalam menguruskan jualan tiket.
Selain itu, mereka turut menegur pihak pengurusan yang gagal mengawal keselamatan stadium sehingga membenarkan penyokong yang tiada tiket masuk secara percuma. Ini sekaligus tidak adil kepada penyokong yang beratur panjang bagi mendapatkan tiket perlawanan malam tadi.
Atas sebab itulah, Ultras Penang mengingatkan pengurusan Penang agar berusaha menjaga standard profesionalisme mereka. Jika mereka bersikap sambil lewa begini, maka mereka secara tidak langsung memalukan Pulau Pinang memandangkan mereka wakil negeri itu dalam Liga Super.