Jadual Lengkap Aksi Skuad Muda Malaysia Di Switzerland
MakanBola
FA Malaysia

Ini jadual lengkap perlawanan melibatkan pasukan Malaysia B-16 pada kejohanan FIFA Youth Series di Switzerland.

Skuad kendalian Javier Jordan Ribera ini baru sahaja terbang ke Zurich, Switzerland bagi menghadapi kejohanan jemputan FIFA di sana bersama 5 lagi negara di peringkat umur bawah 17 tahun.

Seramai 22 orang pemain telah dibawa bagi menyarung jersi skuad muda Harimau Malaya ini setelah berakhir kem latihan pusat yang diadakan selama satu minggu di MSN, Bukit Jalil.

Majoriti pemain yang dibawa datangnya dari skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-16 manakala 7 pemain merupakan produk Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk Arayyan Hakeem Norizam dan Carrick Sipri.

FIFA Youth Series 2025 akan berlangsung di Home of FIFA di Zurich disertai 6 pasukan bawah 16 tahun (B-16), setiap satu dari 6 benua konfederasi FIFA yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A dibarisi oleh Switzerland (Eropah), New Zealand (Oceanie) dan Guatemala (Amerika Utara) tatkala Kumpulan B pula menampilkan Malaysia (Asia), Tunisia (Afrika) dan juga Paraguay (Amerika Latin).

Untuk saingan Kumpulan B, Malaysia akan turun berdepan Paraguay pada Ahad, 18 Mei dan diikuti menentang Tunisia pada Isnin, 19 Mei sekaligus melengkapkan aksi di peringkat kumpulan.

Negara yang menduduki tempat ketiga Kumpulan A dan B kemudiannya akan bertemu untuk aksi Penentuan Tempat Kelima/Keenam pada Rabu, 21 Mei 2025.

Manakala pasukan di tempat kedua Kumpulan A dan B pula akan bertemu sesama sendiri untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga/Keempat pada Khamis, 22 Mei 2025.

Perlawanan akhir bakal menemukan pasukan tempat teratas Kumpulan A dan B, pada hari yang sama untuk menentukan gelaran Juara dan Naib Juara bagi FIFA Youth Series 2025.