Malaysia Umum Barisan 22 Pemain Ke FIFA Youth Series
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Javier Jorda Ribera memuktamadkan senarai 22 orang pemain yang akan dibawa untuk saingan FIFA Youth Series.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiarkan senarai nama 22 pemain yang dipilih di platform rasmi mereka.

Majoriti pemain yang dipilih datang dari skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-16. Hanya satu pemain yang dipanggil dari AMD Future iaitu Adam Muqri Muhaizam.

Johor Darul Ta’zim (JDT) V pula memiliki tujuh wakil dalam skuad kali ini. Ini termasuk Arayyan Hakeem Norizam dan Carrick Sipri.

Skuad negara bakal berlepas ke Zurich, Switzerland pada malam ini selepas seminggu berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B FIFA Youth Series dengan menentang Paraguay pada 18 Mei. Ini disusuli aksi kedua menentang Tunisia pada 19 Mei.

Pasukan yang menduduki tempat ketiga Kumpulan A dan B akan berentap untuk penentuan tempat kelima/keenam pada 21 Mei.

Naib juara kumpulan pula akan bersaing untuk penentuan tempat ketiga/keempat pada 22 Mei. Juara kumpulan akan berentap bagi menentukan siapa pemenang sulung FIFA Youth Series pada hari yang sama.