Jaguh Myanmar Lawan Baharu Johan Ghazali
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Myanmar, Ye Yint Naung menjadi lawan baharu Johan Ghazali untuk aksi pertarungan ONE Championship seterusnya.

Perkara ini disahkan jaguh berusia 19 tahun itu menerusi satu kenyataan ringkas di Instagram. Johan turut berkongsi foto poster pertarungan dalam hantaran sama.

“Tarikh baru, niat sama,” katanya. Yint Naung dipilih sebagai pengganti lawan Johan sebelumnya, Sean Climaco.

Jaguh berdarah Filipina-Amerika itu mengalami kecederaan kaki baru-baru ini. Atas sebab itu, pertarungan Johan dan Climaco yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ditangguhkan.

Meskipun ini penampilan pertama Yint Naung dalam saingan ONE Championship, jaguh berusia 20 tahun itu bukan calang-calang.

Ini kerana beliau memiliki rekod 29 kemenangan daripada 35 pertarungan profesional. Yint Naung juga pernah beraksi dalam Thai Fight sebelum bergabung dengan Team Mehdi Zatout di Pattaya.

Pertarungan ini dijangka menjadi tumpuan kerana gaya pertarungan Johan dan Yint Naung yang berbeza.

Jaguh negara itu dikenali dengan tumbukan dan tendangan berbisa. Yint Naung pula mendominasi pihak lawan dengan gaya pertarungan yang agresif.

Kedua-duanya akan berentap dalam ONE Friday Nights pada 6 Februari ini. Ini kali pertama Johan beraksi dalam slot tersebut sejak dua tahun lalu.