Pemain tengah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jalil Elias membantu Syria merekodkan kemenangan besar 7-0 ke atas Myanmar dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026.
Selepas diikat 1-1 di Yangon beberapa hari lepas, Helang Qasiun yang dibimbing jurulatih Argentina, Hector Cuper perlu menang untuk memburu slot tempat kedua Kumpulan B.
Manakala Myanmar yang dibimbing bekas jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner pula mahu anak buahnya meneruskan momentum positif daripada perlawanan lepas.
Hajat Chinthe mengulangi kecemerlangan pada 21 Mac lalu musnah apabila Omar Khrbin meletakkan Syria di hadapan pada minit ke-30.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada barisan serangan tuan rumah untuk menambah koleksi gol mereka.
Situasi Myanmar bertambah sukar apabila bek kanan, Hein Phyo Win dibuang padang pada minit ke-48 selepas mengutip kad kuning kedua. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Helang Qasiun memanfaatkan sepenuhnya kelebihan 11 pemain di atas padang.
Ibrahim Hesar menembusi gawang Kyaw Zin Phyo pada minit ke-47. Beberapa minit kemudian, giliran bek kiri, Moayad Ajan pula mencipta nama sebagai penjaring.
Myanmar semakin hilang arah apabila Khrbin meledakkan gol keempat pada minit ke-54. Penyerang Al-Wahda itu kemudiannya mencipta hatrik pada minit ke-63.
Ajan sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Chinthe dengan meledakkan gol keenam pada minit ke-68. Alaa Al Dali memastikan kemenangan Syria dengan gol ketujuh pada minit ke-80.
Keputusan ini menyaksikan Syria menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan tujuh mata selepas empat perlawanan. Manakala Myanmar pula kekal di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.