Ketua Jurulatih Malaysia B-16, Javier Ribera menunjukkan semangat juang positif sungguhpun tewas kepada Australia baru-baru ini.
Pengendali muda itu membimbing pasukan bagi aksi kedua peringkat kumpulan di Piala AFF B-16 2024 di Indonesia.
Hasrat skuad muda negara melakar kemenangan kedua terbantut apabila tunduk di tangan anak buah Brad Maloney dengan keputusan 2-0.
Jurulatih berusia 36 tahun itu tidak mahu menoleh ke belakang lagi sambil fokusnya terarah kepada perlawanan terakhir menentang Thailand.
Beliau memuat naik satu hantaran di laman Instagramnya dengan tanda tidak akan menyerah dengan perjuangan yang sedang ditempuhinya.
“Tidak akan mengalah,” ujar Javier Ribera ringkas.

Beliau yang juga merupakan pengarah Akademi JDT mempertaruhkan 12 orang pemain muda Harimau Selatan untuk membawa cabaran negara.
Ujian sebenar beliau adalah pada aksi Kelayakan Piala Asia B-17 pada bulan Oktober ini menentang Lubnan, UAE dan Laos di Laos dengan 10 juara kumpulan dan 5 naib juara bakal layak beraksi di Arab Saudi pada tahun 2025.