Dengan Liga Malaysia (Liga M) semakin menunjukkan peningkatan, ada tertanya-tanya kenapa tiada pemain import hebat mahu ke liga ini? Ada yang kata ia disebabkan Liga M kurang dikenali tetapi bagi ejen bola sepak, Effendi Jagan Abdullah, ia lebih kepada soal kewangan.
Berdasarkan pemerhatiannya, pemain import berkualiti memilih liga atau pasukan yang mempunyai kedudukan kewangan yang stabil. Selain itu, Liga M juga pernah dibarisi pemain-pemain import berkaliber sekaligus menafikan hujah bahawa liga ini kurang dikenali.
“Boleh jadi sebab liga kita tak terkenal, tetapi kebanyakan yang saya dengar adalah sebab duit. Pemain berkualiti ini sebenarnya mereka tidak kisah bermain di mana-mana sahaja lagi-lagi yang sudah berumur 32 tahun ke atas.
“Nak kata liga kita tidak ada kualiti atau terkenal, saya rasa Liga M ini di kedudukan kedua di Asia Tenggara di belakang Liga Thailand. Kalau betul liga kita ini tak terkenal, bagaimana dulu Bosko Balaban yang pernah bermain dengan Aston Villa dan mewakili Croatia di Piala Dunia bermain untuk Selangor?
“Sebagai contoh ada pemain yang berkualiti bermain di Liga Vietnam kerana gaji mereka boleh mencecah AS$30,000-AS$40,000 (RM127,000-RM170,000). Sedangkan kalau nak ikut dari segi kualiti liga, kita lebih baik.
“Saya rasa sebab utamanya adalah duit. Jika pemain itu rasa diri mereka bagus dan mempunyai nilai yang tertentu sudah pasti gaji yang diminta tinggi dan kalau tak sampai apa yang dimahukan, mereka akan tolak,” katanya bila dihubungi Arena Metro.
Satu solusi kepada masalah ini menurut Effendi ialah mendapatkan pemain import muda yang berbakat berbanding pemain-pemain yang sudah dikenali. Ini kerana nilai harga pemain sebegini lebih berpatutan dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama.
“Kalau mereka tidak ada kewangan yang kukuh, mungkin mereka boleh lantik ejen untuk cari bakat-bakat muda yang jauh lebih murah berbanding ambil pemain yang terkenal.
“Sebagai contoh, dulu saya pernah bawa Romel Morales yang ketika itu berusia 18 tahun ke Malaysia dan anda boleh tengok perkembangannya sekarang.
“Sebab kalau orang muda ini, kita boleh guna untuk jangka masa yang panjang. Mungkin kalau ada rezeki, mereka boleh dinaturalisasi dan mampu untuk menyumbang sesuatu kepada bola sepak di negara ini,” tambahnya.