Pihak Malaysian Football League (MFL) mengulas mengenai permohonan Brunei DPMM untuk menyertai Liga Malaysia.
Sebelum ini, timbul khabar angin mengaitkan pasukan Brunei DPMM akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia musim hadapan setelah hampir 17 tahun meninggalkan arena bola sepak negara.
Walaupun belum terdapat sebarang pengesahan rasmi dari pihak kelab Brunei DPMM, Shazli Shaik sebagai Pemangku CEO MFL enggan memberi ulasan lanjut berkenaan khabar angin ini.
”Buat masa ini, saya masih belum boleh membuat apa-apa kenyataan tentang perkara itu (permohonan Brunei DPMM untuk beraksi di Liga Malaysia),” jelas Shazli Shaik ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa MFL di ibu kota pada Isnin.
”Kita akan maklumkan nanti,” tambah Shazli secara ringkas.
Tambah Shazli, terdapat proses yang panjang jika ada kelab luar negara yang ingin beraksi di sini yang melibatkan pihak seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA.
”Perkara-perkara tersebut perlu melalui banyak proses untuk bermain di Liga Malaysia.”
“Permohonan perlu melalui FAM, AFC dan seterusnya ke FIFA untuk mendapat kelulusan bagi mana-mana kelab luar (ingin) beraksi di Liga Malaysia,” terang Shazli kepada pihak media.
Malah, beliau turut menjelaskan pihak MFL secara terbuka menerima kehadiran pasukan dari luar negara namun atas beberapa faktor seperti tarikh kejohanan perlu diambil kira.
“Sudah tentu, kita (MFL) terbuka tapi kita perlu mengambil kira juga liga (domestik) akan bermula bila dan bila liga-liga dan negara (luar) tersebut berakhir,” kata beliau.
”Kita tidak ada masalah selagi mana kita mendapat sokongan daripada FAM, kelulusan dari AFC dan FIFA.”
Untuk rekod, Brunei DPMM pernah menyertai Liga Malaysia bermula tahun 2005 lalu sehingga 2008 sebelum beraksi di Liga Singapura pada musim 2009 hingga kini.