JDT ‘Baham’ TOT United, Hampiri Gelaran Juara MPFL
UltraSukan
JDT Futsal

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod bersih dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) selepas membelasah TOT United.

Aksi minggu ke-11 MPFL menyaksikan JDT yang kini selesa memimpin carta dengan kelebihan 6 mata turun menerima kunjungan kelab tercorot liga, TOT United di Pasir Gudang.

Dua tonggak kebangsaan, Awalluddin Mat Nawi dan Firdaus Ambiah kekal menjadi sandaran utama JDT sementara TOT United menyenaraikan nama Ali Imran selaku ketua pasukan.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, jentera serangan skuad Harimau Selatan ini tidak menunggu lama untuk mengasak pintu gawang TOT United dengan siri serangan bertubi-tubi.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-10 apabila Awalluddin Mat Nawi menampan lorongan cantik dari Saad Abdul Sani bagi gol pertama pasukan JDT pada aksi ini.

Tidak lama kemudian, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan penyamaan oleh TOT United menerusi rembatan deras oleh Wan Raziq yang menewaskan penjaga gol JDT, Azrul Hadee.

Syed Aizad kembali meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-16 hasil satu percubaan kaki kiri yang terus menembusi pintu gol pelawat buat kali kedua untuk tuan rumah kembali mendahului.

Separuh masa pertama tamat, JDT 2-1 TOT United.

Kembali dari rehat, JDT terus mengganas dengan meledak 4 gol dalam masa yang singkat menerusi tendangan percuma Firdaus Ambiah, Bruno Taffy, Abu Haniffa serta Syed Aizad.

TOT United berjaya merapatkan kedudukan menerusi dua gol di hujung aksi hasil tendangan penalti Sufri Shamil dan Wan Raziq namun itu tidak cukup bagi menghalang kemenangan JDT.

Abu Haniffa melengkapkan malam penuh gemilang dengan satu lagi jaringan peribadi dan juga gol ke-7 untuk pasukan JDT mengekalkan kemenangan bersih dalam saingan MPFL.

Aksi tamat, JDT 7-3 TOT United.

Dengan aksi MPFL berbaki 3 lagi aksi, JDT tampaknya bakal berpeluang cerah untuk mempertahan kejuaraan dan hanya perlu mencari satu lagi kemenangan untuk bergelar juara.