MPFL: JDT Bangkit Atasi Pahang Rangers Saat Akhir
UltraSukan
JDT Futsal

Aksi tumpuan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) pada Sabtu menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) cemerlang menundukkan Pahang Rangers pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan turun membawa misi yang penting bagi memburu kemenangan tatkala JDT ingin melebarkan jurang dengan pesaing terdekat, Pahang Rangers yang ketinggalan 3 mata.

Trio Bruno Taffy, Caio Cesar serta Saad Sani kekal menjadi taruhan JDT merobek kubu lawan tatkala Pahang Rangers menampilkan barisan hebat dengan Felipe De Souza ketuai jentera serangan.

Gol pertama perlawanan tercipta seawal minit ke-4 menerusi rembatan tonggak JDT, Ridzwam Bakri sebelum tuan rumah kembali mengikat skor hasil penyudah Matheus Moura pada minit ke-7.

Seminit kemudian, Razin Rahim meletakkan Pahang Rangers di hadapan hasil sentuhan yang menembusi gawang pelawat yang dikawal oleh Azrul Hadee bagi menceriakan penyokong tuan rumah.

Aksi bertambah sengit apabila Awalluddin Mat Nawi berjaya menjaringkan gol penyamaan 2-2 buat JDT namun Pahang Rangers kembali mendahului sebelum rehat hasil percubaan Felipe de Souza.

Separuh masa pertama tamat, Pahang Rangers 3-2 JDT.

Aksi di babak kedua menyaksikan Bruno Taffy menjaringkan gol ke-3 buat futsal JDT bagi kedudukan terikat dan seminit kemudian Harith Na’im memastikan Pahang Rangers unggul 4-3.

4 gol dalam tempoh 8 minit daripada JDT menerusi Ridzwan Bakri (minit 25 dan 30) dan Pahang Rangers hasil percubaan Tuah Eizlan (minit 29) serta De Souza (minit 33) buatkan aksi makin rancak.

Dua jaringan di lewat permainan menerusi Ridzwan Bakri dan Firdaus Ambiah memastikan malam gemilang buat JDT untuk membawa 3 mata dari laman Pahang Rangers dan kukuhkan cengkaman.

Petarungan di SUKPA berakhir dengan keputusan 7-6 memihak JDT.