Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) sentiasa cakna dengan aktiviti kebajikan sosial terutama penderitaan rakyat Palestin.
Lantaran itu, pengurusan Harimau Selatan mengumumkan derma berjumlah RM2.9 juta untuk Palestin dan aktiviti-aktiviti kebajikan Yayasan JDT di Johor Southern Tigers hari ini.
Daripada RM2.9 juta, RM1.017 juta akan didermakan untuk membiayai aktiviti kemanusiaan buat rakyat Palestin.
Wang ini diraih hasil daripada kutipan tiket enam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sejak November lalu.
Ini termasuk perlawanan terakhir di SSI membabitkan JDT dan Penang FC pada 16 Disember lalu. Perlawanan itu menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan 8-0.
Sementara RM1.9 juta lagi disalurkan untuk aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang dianjurkan Yayasan JDT.
Wang tersebut merupakan hadiah wang kemenangan Liga Super musim 2023 yang diterima Harimau Selatan sebagai ganjaran bergelar juara musim ini.
Ini merupakan kesinambungan tradisi JDT yang mendermakan wang hadiah kemenangan liga untuk aktiviti kebajikan sejak tahun 2013.