Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan fokus terhadap persiapan pasukan menjelang aksi pembukaan menentang Shanghai Port di ACLE.
Perkara ini dinyatakan oleh ketua jurulatih, Hector Bidoglio yang mahu anak buahnya memberikan fokus untuk turun dengan aksi terbaik.
Kemunculan JDT di pentas tertinggi di Asia dianggap amat bermakna buat para pemain dan barisan kejurulatihan yang yakin bahawa pasukan semakin baik setiap musim.
“Bagi kami aksi di ACLE ini amat penting. JDT merupakan sebuah kelab yang semakin baik dari setiap musim. Kami memiliki peluang untuk melakukannya.
“Saya memiliki skuad yang baik dan saya amat percaya kepada semua pemain. Pemain bekerja keras dan piala ini sangat bermakna buat kami,” ujar Bidoglio dalam sesi sidang media pra perlawanan.
Bidoglio juga sedar cabaran hebat yang bakal diberikan oleh wakil China itu namun mahu terus memberikan segalanya pada aksi di laman lawan itu.
“Kita tahu bahawa Shanghai Port merupakan sebuah pasukan yang gemar melakukan kawalan bola dan memiliki pemain berkualiti.
“Akan tetapi, fokus kami adalah pasukan kami untuk memberikan yang terbaik. JDT sedar bahawa Shanghai Port pasukan terbaik dalam saingan Liga China ketika ini. Namun begitu, JDT juga merupakan pasukan terbaik di liga kami jadi fokus kami adalah mempersiapkan pasukan,” jelasnya.
Aksi JDT dan Shanghai Port akan berlangsung di Fudong Football Stadium pada 18 September jam 8 malam.