Pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio melihat kehadiran pemain-pemain baru menjadikan pasukan itu lebih baik.
Tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) menyaksikan tujuh pemain baru menyertai Harimau Selatan.
Tujuh pemain tersebut ialah Christian Abad, Andoni Zubiaurre, Park Jun-heong, Iker Undabarrena, Eddy Israfilov, Enzo Lombardo dan Jorge Obregon.
Obregon, Lombardo, Israfilov dan Undabarrena diberi peluang oleh Bidoglio untuk melakukan penampilan pertama bersama JDT dalam aksi menentang Penang FC pada 12 September lalu.
Keempat-empat pemain tersebut menunjukkan prestasi baik sepanjang perlawanan. Ini termasuk Obregon yang membuka akaun golnya dalam liga pada minit ke-41 dan 49.
Bidoglio melihat kehadiran pemain-pemain baru ini akan membantu Harimau Selatan tampil lebih mantap dalam setiap kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
“Pemain-pemain baru menambah baik skuad kita. Amat sukar untuk aksi pertama rasmi mereka tetapi pemain-pemain baru memahami semua situasi.
“Saya gembira dengan pemain-pemain baru, saya gembira dengan semua pemain saya. Dan hari ini, kita ada peluang yang bagus untuk menunjukkan potensi kita dan menunjukkan JDT bertambah bagus,” katanya sebelum perlawanan itu.
Kualiti yang ditampilkan Obregon, Lombardo, Israfilov dan Undabarrena bakal menyuntik semangat Harimau Selatan untuk aksi pertama ACLE.
Mereka bakal berdepan pasukan gergasi China, Shanghai Port di Stadium Bola Sepak Pudong pada 18 September ini.
Shanghai Port dijangka memberi cabaran sukar kepada JDT kerana pasukan itu diketuai kapten dan bekas pemain Chelsea, Oscar.