Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Obregon mula meledak gol pertamanya dalam saingan Liga Malaysia.
Obregon dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua oleh skuad Harimau Selatan dari kelab Croatia, HNK Rijeka untuk memperkuat jentera serangan pasukan.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio menaruh harapan buat penyerang Colombia ini untuk memulakan aksi Liga Super berdepan Penang pada Khamis di Stadium Sultan Ibrahim.
Kepercayaan tersebut dibalas oleh Obregon dengan satu jaringan yang memukau pada minit ke-42 hasil lorongan cantik dari Arif Aiman untuk meletakkan JDT selesa di hadapan.
Ini merupakan jaringan pertama buatnya dalam saingan Liga Super yang juga gol kedua sejak menyarung jersi JDT setelah beliau turut meledak ketika bertemu Port FC dalam aksi persahabatan.
Penyerang berusia 27 tahun ini turut meledak satu lagi gol di awal babak kedua setelah bijak menyambar bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Penang, Sikh Izhan.
Tamat aksi di Stadium Sultan Ibrahim, JDT raih tiga mata dengan 2 gol dari Obregon dan masing-masing satu jaringan daripada Oscar Arribas, Arif Aiman dan Bergson Da Silva.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 5-0 memihak JDT di laman sendiri.