Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin menghampiri rekod dunia untuk rekod tanpa kalah terpanjang.
Semakan rekod yang dibuat Johor Southern Tigers menyaksikan rekod tanpa kalah terpanjang milik kelab Ivory Coast, ASEC Abidjan (kini ASEC Mimosas) dengan 108 perlawanan.
JDT pula mengekori di belakang dengan rekod 104 perlawanan. Harimau Selatan kini menyamai rekod kelab gergasi Romania, Steaua Bucharest (kini FCSB) yang turut memegang rekod sama.
JDT berpeluang menyamai rekod Mimosas dengan memenangi baki empat perlawanan Liga Super musim ini.
Harimau Selatan akan menentang Terengganu FC pada 11 April dan Melaka FC (28 April). Ini disusuli dua aksi pada Mei iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 2 Mei dan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) (10 Mei).
Untuk rekod, JDT masih belum tewas dalam Liga Super sejak musim 2021. Kali terakhir perkara itu berlaku pada 24 April 2021.
Aksi itu menyaksikan Terengganu menumbangkan Harimau Selatan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selain rekod tanpa kalah dalam liga, JDT juga masih belum tewas dalam semua pertandingan domestik sejak tahun 2021.