JDT Jadi Perhatian, Buka Mata Jurulatih Iran
MakanBola
Johor Southern Tigers

Prestasi baik Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2026/27 setakat ini dilihat telah membuka mata jurulatih Iran, Amir Ghalenoei.

Prestasi baik pasukan itu termasuk melakar rekod dunia untuk rekod tanpa kalah paling lama membuka ruang buat Shahab Zahedi dipanggil menyertai pasukan yang diberi jolokan Team Melli itu.

Menariknya, ini panggilan pertama buat Zahedi bersama Iran sejak kali terakhir mewakili pasukan Asia Barat itu pada 2023. Beliau meraih satu-satunya penampilan bersama Iran dalam saingan CAFA Nations Cup menentang Kyrgyzstan pada tahun tersebut.

Sejak itu, Zahedi tidak dipanggil menyertai Team Melli ketika bersama Zorya Luhansk, Puskas Akademia, Persepolis dan kelab Jepun, Avispa Fukuoka.

Selepas memilih menyertai JDT pada awal musim ini, beliau membalas kepercayaan jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz setiap kali beraksi di bahagian serangan. Ini terbukti apabila Zahedi menyumbat 10 gol dalam semua kejohanan setakat ini.

Tujuh daripadanya dilakar dalam Liga Super dengan baki tiga gol dalam saingan Piala FA. Zahedi kini berkongsi gelaran penjaring terbanyak dengan penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes dan penyerang Kuching City FC, Jerome Mpacko Etame dengan tujuh gol.

Beliau juga turut merasai pengalaman beraksi di Asia apabila beraksi dalam aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Buriram United.

Meskipun sekadar seri 1-1 dengan Buriram sehingga akhir perlawanan, kualiti JDT terserlah sebagai satu pasukan. Selain memiliki rekod tanpa kalah terpanjang di dunia, pasukan itu juga sedia berjuang demi mendapatkan mata dalam semua kejohanan.

Lantas, tidak hairanlah Zahedi antara lapan pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil Ghalenoei untuk kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kali ini.