Shahab Zahedi Dapat Panggilan Iran
MakanBola
Johor Southern Tigers

Prestasi baik Shahab Zahedi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat telah menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI).

Wartawan sukan Iran, Hatam Shiralizadeh melaporkan penyerang berusia 31 tahun itu antara lapan pemain berpangkalan di luar negara yang dipanggil jurulatih Iran, Amir Ghalenoei.

Selain Zahedi, Ghalenoei turut memanggil Mehdi Taremi, Sardar Azmoun, Ali Nemati, Mohammad Mohebi, Saeid Ezatolahi, Mohammad Ghorbani dan Dennis Eckert.

Anak jati Malayer, Hamedan itu sudah membuktikan bisanya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Zahedi sudah meledakkan 10 gol dalam semua kejohanan dengan tujuh daripadanya dalam Liga Super.

Sekiranya diturunkan sama ada dalam aksi menentang Uzbekistan pada 24 September atau Russia (29 September), beliau berpeluang menambah rekod penampilan bersama Iran.

Satu-satunya rekod penampilan Zahedi bersama Iran dicatatkan dalam aksi peringkat kumpulan CAFA Nations Cup 2023 menentang Kyrgyzstan. Perlawanan itu menyaksikan Iran meraih kemenangan besar 5-1.

Kem Iran kali ini turut menyaksikan jurulatih kecergasan Sepanyol, Pepe Losada menyertai barisan kejurulatihan negara itu. Losada bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak Iran kerana pernah berkhidmat dengan Persepolis, Gol Gohar dan FC Nassaji.