JDT Juarai Liga Super 2024/2025, Tumpaskan Perak
MakanBola
Johor Southern Tigers

Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sah bergelar juara Liga Super bagi musim 2024-2025 setelah membenam cabaran Perak pada Isnin.

JDT turun di laman sendiri membawa misi memburu satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali ke-11 tatkala Perak berdepan misi getir mengutip mata di tempat lawan

Gandingan Jorge Obregon serta Jese menjadi pilihan JDT di jentera serangan manakala Perak pula turun dengan formasi 4-3-3 diketuai oleh perancang tengah, Luciano Guaycochea.

Seperti dijangka, permainan jelas dikuasai oleh para pemain JDT dengan corak hantaran pendek bagi menekan benteng pertahanan Perak namun dinafikan dengan cemerlang oleh pelawat.

Ketangkasan penjaga gol Perak, Haziq Nadzli wajar diberikan pujian dalam menepis percubaan Jorge Obregon, Jordi Amat dan Arif Aiman untuk memastikan JDT tidak berhasil meraih jaringan.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai ketika masa kecederaan babak pertama apabila umpanan Arif Aiman disudahkan oleh Jese untuk JDT cemerlang di hadapan 1-0 sebelum rehat.

Separuh masa pertama tamat, JDT 1-0 Perak.

Kembali dari rehat, serangan bertali arus terus dilancarkan barisan serangan Harimau Selatan dalam usaha memburu jaringan namun Haziq Nadzli muncul wira Perak menafikan peluang.

Pada minit ke-64, JDT dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan Perak dan Jorge Obregon tidak mensia-siakan peluang untuk tuan rumah mendahului 2-0.

Kemasukan Bergson, Romel Morales dan Sumareh di lewat permainan tak mengubah sebarang keputusan perlawanan meskipun terdapat percubaan baik yang berupaya menjadi gol.

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 2-0 memihak JDT.

Selepas ini, JDT akan mengalihkan tumpuan kepada saingan AFC Champions League Elite berdepan Buriram Untied pada 4 Mac sementara Perak akan menentang Negeri Sembilan di Manjung pada 8 Mac.