Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melepaskan 5 pemain secara pinjaman.
Skuad Harimau Selatan telah menerima kehadiran beberapa pemain baharu untuk memantapkan pasukan seperti Jorge Obregon, Park Jun-heong, Enzo Lombardo dan juga Andoni Zubiaurre.
Usaha memperkuat pasukan bagaimanapun menyaksikan beberapa pemain perlu dilepaskan ke pasukan lain.
Perancang paling bernilai JDT, Jalil Elias telah pun dilepaskan beraksi bersama kelah Argentina, Velez secara pinjaman.
Hal ni disahkan oleh satu kenyataan kelab berhubung kehadiran tonggak berusia 27 tahun itu kembali ke saingan Liga Argentina.
Pemain kedua dilepaskan ialah pemain kelahiran Portugal, Chico Geraldes yang membawa haluan ke Sepanyol.
Tonggak berusia 29 tahun itu menyertai kelab LaLiga2, CD Eldense secara pinjaman hingga pertengahan tahun 2025.
Perancang tengah naturalisasi Harimau Malaya, Endrick Dos Santos kini menyertai kelab Vietnam, Ho Chi Minh City bagi mendapatkan lebih banyak pendedahan di luar negara.
Beliau meninggalkan JDT secara pinjaman untuk ke Vietnam sementara rakan sepasukan di JDT II, Fergus Tierney ke Thailand bersama Chonburi.
Perpindahan dua pemain ini telah disahkan sendiri oleh laman Johor Southern Tigers dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Seorang lagi pemain memilih untuk membawa haluan ke Indonesia iaitu penyerang tinggi lampai, Nicolao Cardoso.
Bekas rakan sepasukan Fernando Forestieri itu menyertai kelab Liga 1 Indonesia, PSS Sleman yang difahamkan juga berstatus pinjaman.