Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Chico Geraldes telah menyertai kelab La Liga 2, CD Eldense.
Pemain berusia 29 tahun itu menyertai skuad Harimau Selatan bagi musim 2024/25 namun berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat.
Tonggak kelahiran Portugal itu kali terakhir bersama JDT adalah pada aksi final Piala FA 2024 sebelum membuat keputusan untuk berhijrah.
Menerusi satu pengumuman oleh CD Eldense, mereka berjaya mendapatkan khidmat Geraldes secara pinjaman dari JDT sehingga 30 Jun 2025.
“Beliau mempunyai pengalaman dalam pertandingan Eropah dengan bermain enam (6) perlawanan kelayakan untuk Liga Europa UEFA.
Chico Gerlades menjaringkan satu gol dan memberikan satu bantuan gol. Di samping itu, dia pernah beraksi di peringkat antarabangsa bersama pasukan Portugal dalam semua kategori bawah sehingga U-21,” ujar Eldense.
Bekas pemain FC Baniyas ini menjadi tonggak import ketiga yang meninggalkan pasukan selepas Jalil Elias ke Argentina dan Nicolao Cardoso ke Indonesia.
JDT juga telah membawa masuka beberapa muka baharu untuk mengisi jentera tengah pasukan bagi baki saingan musim 2024/25.
Beliau sudah beraksi dalam 10 perlawanan musim ini di bawah kendalian Hector Bidoglio dan menjadi antara watak penting pada bahagian tengah pasukan.