Pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) IV terus dominan di persada Kumpulan B Piala Belia 2024 apabila mengalahkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) D.
JDT ingin merekodkan kemenangan ke-11 dalam Kumpulan B selepas membelasah Kuching City FC 6-0. Sementara Kedah D pula ingin meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Akademi Mokhtar Dahari Bawah 16 Tahun (B-16) 2-1.
Meskipun turun tanpa beberapa tonggak termasuk penyerang berbisa, Abid Safaraz Rozaidi kerana tugasan skuad kebangsaan, JDT IV tampil garang pada babak pertama.
JDT IV berusaha menembusi gawang skuad muda Sang Kenari menerusi gandingan penyerang Muhammad Zamir Zairi dan Aiman Nazmi Mohd Nazsri.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan Kedah D diketuai Mikail Shahmi Norhisham bekerja keras menyerap tekanan yang dikenakan oleh tuan rumah.
Kesungguhan skuad muda Sang Kenari menafikan asakan tuan rumah menyebabkan JDT IV terpaksa menunggu sehingga minit ke-39 menerusi Afiq Danish Zulkifli.
Gawang Kedah bocor lagi buat kali kedua empat minit selepas itu dengan Daniesh Amirruddin mencipta nama sebagai penjaring. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, JDT IV terus mengasak untuk menggandakan kelebihan gol yang dimiliki mereka.
Keadaan ini memaksa pengendali Kedah D, Faizal Rijaluddin membuat beberapa pertukaran pemain untuk cuba mengimbangi serangan tuan rumah.
Malangnya, apa yang diharapkan beliau tidak berlaku. Sebaliknya, skuad muda Harimau Selatan menggandakan kelebihan jaringan menerusi Daniesh pada minit ke-79.
Keputusan 3-0 memastikan JDT IV kekal bertakhta sebagai pendahulu Kumpulan B dengan 35 mata. Sementara Kedah D pula kekal di tangga kelima dengan 15 mata.
Selepas ini, JDT IV akan berehat untuk minggu perlawanan seterusnya kerana tiada perlawanan dijadualkan untuk mereka. Sebaliknya, Kedah D akan turun menentang Perak FC IV pada 28 Julai ini.