JDT Racing Team Ukir Sejarah Baharu
UltraSukan
JDT Racing Team

JDT Racing Team mencipta sejarah baru dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC).

Kemenangan berganda Hafizh Syahrin di Sepang untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) menyaksikan pasukan itu meraih kemenangan berganda pertama dalam ARRC.

Selain itu, Hafizh juga mencatatkan ‘clean sheet‘ dengan menguasai kedudukan pertama bermula dari sesi latihan pertama pada Jumaat hingga perlumbaan kedua pada Ahad.

Pelumba baharu JDT Racing Team, Andi Farid Izdihar turut mencuri tumpuan dengan meraih dua podium dalam dua perlumbaan ASB1000.

Hafizh menghargai sokongan semua pihak termasuk penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sanggup hadir ke Sepang untuk memberi sokongan.

“Pertama sekali syukur atas kejayaan ini dan saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta para penyokong yang hadir dan keluarga yang sentiasa memahami minat dan kerja saya,” katanya selepas perlumbaan.

Andi Farid pula berpuas hati selepas berjaya mengatasi permulaan perlahan dalam perlumbaan kedua ASB1000.

“Permulaan yang sangat buruk tetapi saya berjaya memberikan saingan dan berpuas hati dengan tempat ketiga dan saya sangat gembira,” katanya.

Selepas perlumbaan di Sepang, Hafizh kini menerajui kejuaraan keseluruhan ASB1000 dengan 50 mata. Keito Abe dan Andi Farid masing-masing mengekori di belakang dengan 40 dan 32 mata.

Selepas ini, saingan ARRC akan diteruskan dalam pusingan kedua di Buriram, Thailand dari 8 hingga 10 Mei ini.