JDT Sasar Layak Ke Piala Dunia Kelab
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) menyimpan cita-cita layak ke saingan Piala Dunia Kelab.

Hasrat itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia menerusi satu kenyataan di platform Johor Southern Tigers.

Garcia memaklumkan sasaran yang dibuat DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor itu bertujuan mengangkat nama Johor dan Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa.

“Dengan kemungkinan pengembangan bilangan penyertaan di Piala Dunia Kelab FIFA, yang akan membuka lebih banyak slot untuk pasukan-pasukan Asia yang bukan hanya terhad kepada juara ACL Elite, JDT meletakkan sasaran untuk mara secara konsisten ke peringkat lebih jauh di ACL Elite agar memperbaiki ranking kelab Asia dan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mewakili Malaysia di pentas tertinggi bola sepak kelab dunia,” katanya.

Garcia mengakui sasaran ini bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Pada masa sama, beliau percaya barisan pemain baharu yang tiba akan dapat membantu JDT memberi cabaran untuk musim 2025/26.

“Merealisasikan sasaran ini bukanlah tugas yang mudah — standard bola sepak di Asia sangat tinggi. Kami tidak boleh leka sekiranya JDT mahu berjaya dalam misi yang besar ini.

“Pemain-pemain baharu yang kami bawa masuk untuk musim 2025-26 selari dengan hala tuju ini, dan kejayaan JDT di peringkat Asia pastinya juga akan menjadi kejayaan untuk bola sepak Malaysia,” ujarnya.

Musim 2025/26 menyaksikan Ibrahim Manusi, Antonio Glauder, Moussa Sidibe, Hector Hevel, Jon Irazabal dan Jairo da Silva menyertai Harimau Selatan.

JDT turut dikaitkan dengan perpindahan tiga lagi pemain import iaitu Frank Castaneda, Nacho Mendez dan Miguel Angel Cuesta.