Jurulatih Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Tano Solari memuji kesungguhan anak-anak buahnya biarpun mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh 11 hari.
Lebih mencabar, JDT perlu mengharungi tiga perlawanan di tempat lawan dalam tempoh tersebut.
Selepas turun menentang Perak FC untuk aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia pada 19 Oktober, mereka menentang Ulsan Hyundai di Korea Selatan pada 24 Oktober.
Dan semalam, mereka beraksi di Kota Bharu bagi memenuhi komitmen Liga Super menentang Kelantan United.
Solari mengakui bukan mudah bagi mereka mengekalkan tahap fokus dan motivasi dalam tempoh berkenaan.
Namun begitu, kesungguhan anak-anak buahnya untuk terus memburu kemenangan buat JDT membuatkan beliau rasa bangga dengan sikap yang ditampilkan mereka.
“Bukan senang nak kekalkan tahap fokus dan motivasi yang cukup, ia amat susah. Mereka berusaha lebih pada hari ini.
“Ia sesuatu yang menakjubkan di mana mereka beri komitmen kepada pasukan (dan) menekan (lawan) di stadium yang sukar, padangnya juga bukan dalam keadaan yang terbaik,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Perlawanan semalam menyaksikan Harimau Selatan meraih kemenangan 2-0 ke atas Kijang Hijau hasil jaringan Fernando Forestieri dan Akhyar Rashid.
Selepas ini mereka mengalihkan fokus kepada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia 2023 menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 November ini.