Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara lima pasukan ASEAN yang merekodkan purata kehadiran tertinggi penyokong di rantau itu.
Ini berdasarkan senarai 10 pasukan ASEAN yang memiliki purata rekod kehadiran terbaik yang dikongsikan ASEAN Football.
JDT berada di tangga kelima dengan purata kehadiran 14,095 orang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pasukan gergasi selatan tanah air itu hanya dipisahkan dengan Persib Bandung dan Persebaya Surabaya dengan angka 700 orang.
Ini kerana kedua-dua kelab Liga 1 Indonesia itu masing-masing merekodkan purata kehadiran 14,739 dan 14,729 orang. Kehadiran penyokong membantu Persib bergelar juara liga musim 2024/25.
JDT memiliki purata kehadiran jauh lebih baik berbanding kelab gergasi Thailand, BG Pathum United. BG Pathum hanya merekodkan purata kehadiran 8,199 orang.
JDT turut mengatasi purata kehadiran juara V. League 1 musim 2024/25, Thep Xanh Nam Dinh. Nam Dinh merekodkan purata kehadiran 11,038 orang.
Dua pasukan mengungguli carta purata kehadiran penyokong tertinggi ASEAN. Buriram United berada di kedudukan pertama dengan purata kehadiran 18,363 orang.
Satu lagi kelab Indonesia, Persija Jakarta pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan purata kehadiran 15,414 orang.
Angka 14,095 orang ini dijangka menyemarakkan semangat JDT untuk menarik kehadiran penyokong untuk kempen musim 2025/26.
Ini kerana selain kempen di peringkat domestik, Harimau Selatan juga bersaing dalam saingan Shopee Cup dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Sebelum ini, JDT menjadi antara pasukan yang merekodkan kehadiran penyokong tertinggi di pentas Asia. Mereka merekodkan 34,644 orang pada 11 Mac lalu