Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara pasukan yang merekodkan kehadiran tertinggi di pentas Asia.
Ini selepas Footy Rankings menyenaraikan senarai rekod kehadiran perlawanan tertinggi di Asia baik dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) atau Liga Cabaran AFC (ACGL).
JDT dilihat konsisten dengan merekodkan kehadiran melebihi 30,000 orang. Rekod kehadiran tertinggi pasukan itu di Asia musim 2024/25 ialah 34,644 orang pada 11 Mac lalu.
Pada ketika itu, Harimau Selatan berdepan Buriram United untuk aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik ACLE.
Meskipun perlawanan berlangsung pada bulan Ramadan, itu tidak menghalang ramai penyokong JDT hadir untuk menzahirkan sokongan mereka.
Pengurusan Harimau Selatan turut membantu penyokong yang hadir dengan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa percuma dan kemudahan tempat solat.
Rekod 34,644 orang ini juga merupakan rekod kehadiran tertinggi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk musim 2024/25.
Dua pasukan Iran, Esteghlal dan Persepolis masing-masing menduduki tangga pertama dan kedua untuk rekod kehadiran tertinggi di Asia. Esteghlal merekodkan kehadiran 75,130 dengan Persepolis (70,350).
Menariknya, rekod kehadiran tertinggi ini dicatatkan apabila mereka menentang kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr.
Kelab Kemboja, Svay Rieng merekodkan kehadiran 51,610 orang untuk aksi final ACGL menentang Arkadag. Ini menjadikan mereka satu-satunya kelab Asia Tenggara merekodkan kehadiran melebihi 50,000 orang.