Filipina kembali memintas Malaysia dalam ranking FIFA secara masa nyata selepas mencatat kemenangan ke atas Thailand dalam aksi FIFA ASEAN Cup 2026.
Kemenangan tersebut menyaksikan Filipina melonjak ke tangga ke-135 dunia berdasarkan kemas kini ranking masa nyata di laman rasmi FIFA.
Sebelum aksi berkenaan, Filipina berada di tangga ke-137 dunia dengan Malaysia pula menghuni kedudukan ke-136.
Dalam perkembangan sama, Republik Dominika yang sebelum ini berada di tangga ke-135 mengalami kejatuhan selepas tumpas 1-4 kepada Haiti dalam aksi CONCACAF Nations League pada 2 Oktober lalu..
Keputusan itu menyaksikan Republik Dominika turun dua anak tangga ke kedudukan ke-137 dunia berbanding ranking masa-nyata sebelum ini gara-gara dipotong -4.91 selepas bertemu Haiti.
Situasi tersebut membuka ruang buat Filipina melonjak ke tangga ke-135 dan secara tidak langsung kembali berada di hadapan Malaysia.
Malaysia pula kekal di tangga ke-136 selepas mencatat kemenangan 6-0 ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026.
Ini bermakna kedudukan Malaysia sebenarnya tidak berubah dalam kemas kini masa nyata tersebut, sebaliknya Filipina dan Republik Dominika yang bertukar tempat selepas keputusan perlawanan masing-masing.

Dengan kedudukan terbaharu ini, Filipina kembali menjadi pasukan keempat terbaik ASEAN di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia, manakala Malaysia berada di tangga kelima rantau ini.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut masih belum rasmi kerana FIFA menyatakan ranking masa nyata hanya menjadi rasmi selepas semua perlawanan berkaitan disahkan sebagai aksi antarabangsa ‘A’.
Kemas kini rasmi ranking FIFA seterusnya dijadualkan pada 7 Oktober 2026, sekali gus menjadi penentu kedudukan rasmi selepas kesemua aksi dalam tempoh antarabangsa ini selesai.