Bekas pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof yakin mana-mana pasukan berasa gerun untuk turun bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad kendalian Xisco Munoz cemerlang mengharungi kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) apabila mencatatkan kemenangan pada aksi ketiga bertemu Port FC dengan keputusan 3-0.
Beraksi di laman sendiri, Harimau Selatan terus kebal sejak tahun 2023 apabila tidak tewas dalam aksi pentas Asia setiap kali beraksi di laman sendiri.
Menurut Nizaruddin, aura di SSI itu menyebabkan pasukan lawan berasa gerun ditambah pula suasana penyokong dan kekuatan JDT menjadi resepi kejayaan terbaik buat juara bertahan Liga Super itu.
“Belum masuk padang lagi, semasa di luar stadium pun kita sudah boleh rasai suasananya (Stadium Sultan Ibrahim) itu.
“Stadium satu hal, penyokong satu hal lain tetapi pasukan pun memainkan peranan juga untuk menjadikan SSI itu sebegitu kebal.
Beliau juga yakin sentuhan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menjadi nadi utama kepada wakil tunggal negara pada pentas tertinggi Asia itu untuk terus tampil secara konsisten dalam semua kejohanan.
“Dengan pemain sedia ada ditambah pula dengan DYAM Tunku Mahkota Ismail, yang menjaga pasukan, saya rasa mana-mana pasukan pun akan rasa akibatnya jika tidak bersedia beraksi dalam perlawanan di sana.
“Pemain-pemain JDT tidak akan memberi ruang kepada pemain lawan untuk menunjukkan taring di stadium mereka. Konsistensi juga menjadi faktor sama ada di liga mahupun pentas Asia.
“Jadi, perkara itu bergerak seiring dan ia merupakan satu perkara yang menarik,” tambah Nizaruddin kepada Astro Arena.
JDT bakal meneruskan cabaran bagi aksi keempat kumpulan menentang Jeonbuk Hyundai pada 3 November 2026 jam 6.00 petang.


