Harry Montague akhirnya merealisasikan impiannya untuk bergelar pemain profesional selepas pertahanan muda Malaysia-England itu menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama West Ham United.
Pemain pertahanan berusia 17 tahun itu menerima kontrak tersebut selepas menunjukkan perkembangan positif bersama akademi The Hammers sejak kembali menyertai kelab berkenaan pada musim 2024/25.
Montague sebelum ini pernah menyertai akademi West Ham ketika berusia sembilan tahun sebelum meninggalkan kelab tersebut dan kembali beberapa tahun kemudian.
Musim lalu menyaksikan Montague membuat lebih 20 penampilan bersama skuad B-18 West Ham selain membantu pasukannya menjuarai U17 Premier League Cup.
Perkembangan positif itu menyaksikan beliau dinaikkan ke skuad B-21 bagi musim 2026/27 dan sudah membuat empat penampilan setakat ini.
Montague turut diturunkan selama 90 minit ketika West Ham B-21 mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Valencia Mestalla dalam saingan Premier League International Cup.
Bagi Montague, peluang menandatangani kontrak profesional bersama kelab yang disokongnya sejak kecil merupakan detik yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
“Ini bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan dan merupakan satu detik yang sangat membanggakan buat saya serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang West Ham United.
Montague turut mengakui bahawa beliau sudah menyokong West Ham sejak kecil dan sukar menggambarkan perasaannya selepas berjaya bergelar pemain profesional kelab tersebut.
“Saya sudah menyokong West Ham selama mana yang saya boleh ingat, jadi dapat mengatakan bahawa saya kini seorang pemain profesional kelab ini adalah sesuatu yang luar biasa.”
Dalam masa sama, perkembangan karier Montague turut menjadi perhatian peminat bola sepak Malaysia susulan latar belakang keluarganya yang mempunyai kaitan dengan negara ini menerusi ibunya.
Montague sebelum ini dilaporkan sedang melalui proses dokumentasi bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia selepas hadir ke negara ini bersama bapanya untuk menguruskan dokumen berkaitan.
Perkembangan terbaharu pada Julai lalu pula menyaksikan proses dokumentasi pemain muda itu dilaporkan telah selesai, sekali gus membuka peluang buat Harry Montague untuk mewakili Harimau Malaya pada masa akan datang.
Bagaimanapun, status akhir kerakyatan serta kelayakan Montague untuk mewakili Malaysia masih belum diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Kini, Montague bakal meneruskan perjalanan profesionalnya bersama West Ham dengan impian lebih besar untuk terus berkembang sebelum memburu peluang menembusi skuad utama kelab tersebut.