Keputusan pengadil untuk tidak memberikan penalti kepada Manchester City selepas bola terkena tangan penyerang Arsenal, Viktor Gyökeres dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) akhirnya disertakan penjelasan menerusi komunikasi rasmi VAR.
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-90+6 ketika tandukan pertahanan Manchester City, Joško Gvardiol terkena tangan Viktor Gyökeres dalam situasi sepakan penjuru.
Pengadil perlawanan, John Brooks pada awalnya tidak memberikan sepakan penalti sebelum insiden tersebut disemak dan disahkan oleh pegawai VAR, Darren England.
Menerusi perkongsian Premier League Match Centre di laman X, komunikasi antara pengadil dan VAR turut didedahkan bagi menjelaskan keputusan berkenaan.
Pengadil, John Brooks menyatakan:
“Bola mungkin terkena tangan, tetapi saya rasa ia bukan tindakan yang disengajakan.”
Pegawai VAR, Darren England kemudian memberikan penjelasan mengenai kedudukan tangan pemain Arsenal itu:
“Ia tangan kiri, tangan kiri yang berada rapat ke badan.”
Susulan semakan tersebut, keputusan asal pengadil untuk tidak memberikan sepakan penalti kepada Manchester City dikekalkan selepas disahkan oleh VAR.
Perlawanan di Emirates Stadium itu berakhir dengan keputusan seri 2-2, sekali gus menyaksikan Arsenal dan Manchester City terpaksa berkongsi satu mata.


