Asia

J-League 1: Kashima Antlers Buat Cerezo Osaka & Dion Cools Kecundang Lagi

Cools Osaka J-League 1: Kashima Antlers Buat Cerezo Osaka & Dion Cools Kecundang Lagi
Cerezo Osaka
Advertisements

Aksi Hari Perlawanan 13 J-League 1 2026 menyaksikan Cerezo Osaka dan Dion Cools terus hampa apabila tewas di tangan Kashima Antlers.

Pasukan kendalian Pablo Machin turun dengan kesebelasan terbaik dengan Cools, pertahanan versatil diletakkan selaku pertahanan tengah dalam formasi tiga pemain bertahan.

Bermula dengan cukup agresif, Kashima selaku tuan rumah berjaya menyerap asakan awal jentera serangan Cerezo Osaka menerusi gandingan Pablo Sabbag dan Lucas Fernandes.

Pemain sayap Kashima, Elber memanfaatkan kelopongan pertahanan Cerezo Osaka untuk melepaskan percubaan menewaskan Kosuke Nakamura pada minit ke-14 sebelum menggandakan kedudukan, lapan minti berselang.

Pablo Sabbag berjaya merapatkan jurang apabila meledak jaringan cantik menewaskan Tomoki Hayakawa pada minit ke-25 namun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama.

Hal ini disebabkan perancang tengah, Matheus Bueno menjaringkan gol ketiga untuk menutup aksi babak pertama dengan keputusan 3-1.

Bersambung babak kedua, Cerezo Osaka berusaha keras menerusi serangan bertali-arus untuk mendapatkan jaringan kedua pasukan.

Kekebalan jentera pertahanan tuan rumah memastikan gawang tidak dibolosi, selain mengekalkan kelebihan dua gol di hadapan Cerezo Osaka.

Kashima menambah jaringan keempat perlawanan pada minit ke-70 apabila pemain gantian, Aleksandar Cavric meledak jaringan cantik buat tuan rumah.

Tambahan masa lima minit menyaksikan keputusan perlawanan tidak berubah sekali gus memberikan kekalahan keenam buat Cerezo Osaka dalam saingan liga musim ini.

Aksi Cools yang bekerja keras sepanjang perlawanan wajar menerima pujian tatkala menjadi pertahanan dengan menerima penilaian tertinggi iaitu 6.5 mata oleh laman SofaScore.

Cerezo Osaka kini menduduki tangga ke-12 liga dengan hanya 14 mata selepas 13 perlawanan, manakala Kashima Antlers melonjak ke kedudukan keenam liga dengan 23 mata, selain sudah tujuh perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan.

Aksi berikutnya menyaksikan Kashima bakal bertemu FC Tokyo pada 7 November manakala Cerezo Osaka bakal bertandang ke Gamba Osaka pada 8 Disember 2026 bagi Hari Perlawanan ke-14.