Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan ketibaan pemain import baharu kelahiran Brazil, Bruno Taffy.
Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi JDT Futsal menyaksikan Bruno Taffy diperkenalkan secara rasmi sebagai tonggak import Harimau Selatan yang baharu bagi baki saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024.
Di dalam video berkenaan, pemain berusia 34 tahun itu kelihatan menyarung jersi kebanggaan JDT beserta nombor jersi baharunya iaitu nombor sembilan.
Sebelum ini, Bruno Taffy beraksi buat Elpozo Murcia FS di Sepanyol dan juga merupakan tonggak utama skuad futsal kebangsaan Brazil yang pernah beraksi di Piala Dunia Futsal 2021 dan Copa Amerika Futsal 2022.
Kemasukan Bruno Taffy ini sekaligus menjawab spekulasi mengenai pemain yang bakal menggantikan Helio Neto yang dilepaskan beberapa minggu lalu setelah tujuh aksi bersama skuad Harimau Selatan.
Selepas tujuh perlawanan, anak didik Miguel Garcia kini selesa mendahului carta MPFL dengan 21 mata hasil tujuh kemenangan bersih dalam kesemua aksi termasuklah ke atas KL City dalam perlawanan terakhir.
Selepas ini, JDT Futsal dijadualkan bertemu Terengganu di laman lawan pada 3 Julai ini dengan misi memperkukuh kedudukan di puncak liga setelah pencabar terdekat, Pahang Rangers tumpas di tangan Selangor Futsal.