Pemain import pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Helio Neto mengumumkan perpisahannya bersama skuad Harimau Selatan.
Pemain kelahiran Brazil itu menyertai JDT daripada salah satu pasukan pencabar musim lepas, Gombak TOT United pada awal Januari yang lalu.
Setelah beraksi dalam tujuh perlawanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), jodoh pemain berusia 32 tahun itu bersama JDT akhirnya sampai ke penghujung setelah kontraknya berakhir.
Perpisahan ini dimaklumkan oleh Neto sendiri melalui satu hantaran di laman Instagram miliknya yang memberitahu bahawa kontraknya bersama JDT bakal berakhir pada penghujung Jun ini.
Tambahnya lagi, beliau berasa gembira berjaya membantu JDT meraih kemenangan bersih dalam saingan liga dan turut mendoakan kejayaan pasukan dan rakan sepasukan yang lain.
“Kontrak saya dengan JDT berakhir bulan ini dan saya meninggalkan pasukan dengan misi yang telah dicapai,” tulis Neto di akaun Instagram milik beliau.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kelab dan rakan-rakan yang saya temui di sini.”
Dalam tujuh perlawanan, kelibat Neto sering membarisi senarai pemain utama dan turut menjaringkan satu gol untuk membantu skuad Harimau Selatan mengungguli carta liga.
Masa depan Neto masih tidak ketahui selepas ini dan satu slot pemain import JDT juga bakal dimaklumkan oleh pihak kelab nanti.