Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya mengumumkan ketibaan pemain tengah kelahiran Jepun, Takahiro Kunimoto.
Pemain berusia 25 tahun itu disebut-sebut akan mengisi slot kuota import Asia bersama Harimau Selatan selepas tular mengenai berita perpindahannya di media sosial.
Bekas pemain tengah bawah 20 tahun Jepun ini beraksi bersama kelab Portugal, Casa Pia selepas melalui musim cemerlang bersama kelabnya, Jeonbuk Hyundai.
Pemain yang mesra disapa Kuni ini mula mencipta nama di pentas Asia ketika beraksi bersama pasukan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai pada musim 2020 hingga 2022.
Menerusi satu pengumuman oleh Johor Southern Tigers, Kunimoto secara rasminya diumum selaku pemain baharu JDT.
Kuni juga merekodkan sebanyak 64 penampilan dan berjaya meledak 10 gol secara keseluruhan ketika bersama Jeonbuk Hyundai.
Beliau juga cemerlang membantu Jeonbuk Hyundai meraih gelaran juara Liga Korea musim 2019/2020 dan 2020/2021 serta kejuaraan Piala FA Korea pada tahun 2020 dan 2022.
Kehadiran beliau sudah pasti memberi pilihan tambahan kepada ketua jurulatih, Tano Solari untuk mencongak percaturan ampuh untuk mengekalkan mahkota Liga Super Malaysia di samping mendepani cabaran getir di pentas Liga Juara-Juara Asia (AFC) tidak lama lagi.