Advertisement
Jepun Pesta Gol Atasi Kanada
Asia
MakanBola
FA Japan

Kanada menjadi mangsa terbaru Jepun apabila pasukan dari Amerika Utara itu dibelasah 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Denka Big Swan, Niigata.

Kanada berharap dapat menjadikan perlawanan ini sebagai medan kebangkitan selepas dikecewakan Amerika Syarikat di pentas suku akhir Piala Emas CONCACAF 2023 pada Julai lalu.

Begitupun, Samurai Biru dianggap lawan sukar lebih-lebih lagi selepas mereka menewaskan dua pasukan hebat dari Eropah, Jerman dan Turki pada September lalu.

Dan tuan rumah bermula dengan langkah kanan menerusi gol pantas Ao Tanaka pada minit kedua.

Kanada berpeluang menyamakan kedudukan apabila VAR mengesan kekasaran ke atas Alphonso Davis dalam kotak penalti pada minit ke-20.

Malangnya, sepakan penalti yang diambil penyerang Lille, Jonathan David berjaya ditepis penjaga gol Sanfrecce Hiroshima, Keisuke Osako.

Sebaliknya, tuan rumah menambah gol kedua menerusi gol sendiri Davis pada minit ke-39. Tiga minit kemudian, pemain sayap Reims, Keito Nakamura menambah gol ketiga Jepun.

Bersambung pada babak kedua, Kanada yang dibimbing jurulatih interim, Mauro Biello cuba bangkit untuk merapatkan jurang dengan tuan rumah.

Sebaliknya, Jepun melebarkan lagi kelebihan mereka menerusi Tanaka pada minit ke-49.

Dengan kemenangan memihak kepada Samurai Biru, jurulatih Hajime Moriyasu membawa masuk trio Atsuki Ito, Hayao Kawabe dan Kyogo Furuhashi bagi mempertahankan kelebihan mereka.

Kanada berusaha mencari gol saguhati dan berjaya meraihnya menerusi bekas pemain Blackburn Rovers, Junior Hoilett pada minit ke-89. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengikut penilaian Sofascore, Tanaka merupakan pemain terbaik Samurai Biru dengan markah 8.8.

Manakala Alistair Johnston pula berharap mahu melupakan mimpi ngeri yang menimpanya hari ini. Sofascore memberinya markah 5.9, terendah dalam kalangan semua pemain yang beraksi dalam perlawanan Jepun-Kanada.

Kini, perhatian Jepun beralih pula kepada satu lagi aksi persahabatan menentang Tunisia pada 17 Oktober ini.