Jepun meraih kelebihan awal dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 apabila mendahului Indonesia 2-0 pada separuh masa pertama.
Indonesia berharap dapat bangkit daripada kekalahan 2-1 di tangan China pada Oktober lalu. Manakala Jepun mahu mengekalkan rekod kebal mereka dalam Kumpulan C.
Kevin Diks menjadi tonggak warisan terbaru yang diberi peluang dalam kesebelasan utama Tim Garuda. Manakala bek tengah Luton Town, Daiki Hashioka pula dipilih sebagai pengganti Shogo Taniguchi yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
Separuh masa pertama menyaksikan Samurai Biru berusaha menggugat kubu pertahanan Indonesia menerusi trio Koki Igawa, Daichi Kamada dan bekas bintang Liverpool, Takumi Minamino.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan tuan rumah diketuai bek tengah Venezia, Jay Idzes bekerja keras mematahkan setiap ancaman Jepun.
Indonesia hampir di hadapan menerusi Ragnar Oratmangoen pada minit kelapan selepas melepasi Ko Itakura. Malangnya, percubaan penyerang FCV Dender itu pantas disekat penjaga gol Jepun, Zion Suzuki.
Sembilan minit selepas itu, Kamada hampir mencemaskan gawang Indonesia yang dikawal Maarten Paes. Walau bagaimanapun, tandukan pemain Crystal Palace itu tidak mengenai sasaran.
Kubu pertahanan Indonesia makin cemas apabila Ritsu Doan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-23. Percubaan pemain SC Freiburg itu pantas ditangkap Paes.
Gol yang dicari Samurai Biru akhirnya muncul pada minit ke-35 menerusi bek tengah Wolves, Justin Hubner. Ini selepas Hubner tertolak bola Kamada masuk ke gawangnya sendiri.
Tuan rumah semakin ketinggalan Minamino pantas merembat bola yang dihantar Kaoru Mitoma untuk menewaskan Paes pada minit ke-40.
Indonesia terpaksa melakukan pertukaran awal dengan memasukkan Sandy Walsh sebagai pengganti Diks seminit selepas itu. Ini selepas Diks tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.
Indonesia berusaha merapatkan jurang gol dengan masa tambahan sebanyak tiga minit tetapi tidak berhasil. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.