Jepun Unggul Tewaskan Tunisia
MakanBola
JFA

Jepun terus melebarkan rekod kemenangan dalam kalendar antarabangsa FIFA kepada enam perlawanan selepas mengalahkan Tunisia di Stadium Noevir, Kobe.

Selepas berjaya mengatasi cabaran Kanada 4-1 beberapa hari lepas, Samurai Biru semakin bernafsu memburu kemenangan.

Begitupun, Tunisia dilihat mampu memberi tentangan kepada Jepun bersesuaian dengan status pasukan ketiga terbaik dari Afrika.

Ini menjelaskan mengapa Samurai Biru perlu menunggu sehingga minit ke-43 menerusi penyerang Celtic, Kyogo Furuhashi. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, barisan serangan Jepun diketuai Furuhashi semakin ghairah memburu gol.

Kesabaran mereka mendapatkan gol kedua berhasil apabila pemain sayap Reims, Jun’ya Ito menyumbat gol pada minit ke-69.

Helang Carthage cuba bangkit dengan membuat beberapa pertukaran tetapi tidak berhasil. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Persembahan terbaik yang ditampilkan Ito menyaksikan beliau diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan menerusi penilaian markah Sofascore.

Sofascore memberi markah 7.8 kepada Ito. Sementara pemain sayap Real Sociedad, Takefusa Kubo pula mendapat markah 7.7.

Siri kemenangan ini meletakkan Jepun pada landasan terbaik untuk aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Myanmar atau Macau pada 16 November ini.