Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka melancarkan jersi baru pasukan itu untuk musim 2024/25 seawal 25 Julai ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh pemegang saham majoriti pasukan itu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam satu sidang media khas.
Daud memaklumkan perkara ini berlaku disebabkan proses pengilangan membabitkan jersi berkenaan dilakukan di luar negara.
Beliau percaya selepas semua urusan berkenaan jersi baru ini dapat diselesaikan, ia akan dilancarkan secara digital pada 25 Julai ini.
“Pelancaran jersi kita hanya dapat buat pada 25 Julai, pada sebelah malam jam 10.00 malam menerusi pelancaran secara digital. Kerana jersi ini masih melalui proses pengilangan di luar negara.
“Insya Allah sebaik saja kita menerima dan membuat persiapan terakhir, kita akan lancarkan dengan izin Allah s.w.t pada 25 Julai, 10.00 malam secara digital. Kemudian kita akan buat program-program yang lebih fizikal pada besok hari menjelang perlawanan kita dengan Kuching City FC pada 26 Julai,” katanya.
Daud turut memaklumkan situasi kewangan yang membelenggu Sang Kenari bakal berakhir. Ini selepas beliau mendedahkan sebuah entiti korporat yang masih dirahsiakan identitinya bersedia membantu pasukan itu.
Berita ini dijangka menyuntik semangat anak buah Nafuzi Zain menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menentang Penang FC pada 5 Julai ini.