Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan kejayaan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meraih kemenangan pertama liga amat penting buat pasukan itu.
Ini kerana dengan kemenangan tersebut, pasukan utara tanah air itu tidak perlu lagi memikirkan isu potongan tiga mata yang dihadapi mereka untuk musim 2024/25.
Sebelum ini, Sang Kenari dihukum denda RM50,000 dan potongan tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas gagal menepati tarikh akhir penyelesaian tunggakan gaji iaitu 31 Mac lalu.
Meskipun isu tersebut akhirnya selesai pada 20 April lepas, Kedah perlu memburu kemenangan agar dapat meneruskan kempen liga dengan nota positif.
Perkara ini dicapai menerusi kemenangan ke atas PDRM FC pada 11 Mei lalu menerusi jaringan pantas penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad.
Razman melihat kemenangan ini mampu memberi suntikan semangat kepada Kedah untuk lebih cemerlang selepas ini.
“Jersi pra-musim, itu tak penting. Yang penting, (Kedah) bayar hutang (potongan mata), dapat tiga mata,” katanya semasa menjadi panel program Nindia di Astro Arena baru-baru ini.
Selepas melangsaikan hutang potongan mata mereka itu, Kedah kini berada di tangga kelapan liga. Sang Kenari seterusnya bakal berdepan Selangor di Stadium MBPJ pada 18 Mei ini.