Bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez sah menjadi tonggak import terbaru Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Ini selepas pengurusan Harimau Selatan mengumumkan perpindahan penyerang berusia 31 tahun itu di platform media sosial Johor Southern Tigers.
“Beliau (Jese Rodriguez) sudah bermain di kelab-kelab besar dan semua divisyen utama. Pemenang Liga Juara-Juara UEFA dua kali kini sebahagian daripada keluarga JDT,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini sekaligus mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Dari Real Madrid ke JDT, media antarabangsa melaporkan Jese Rodriguez yang juga pernah beraksi bersama PSG bakal sertai JDT, difahamkan sebagai ejen bebas sekaligus boleh beraksi bila-bila masa,” katanya di X.
Perpindahan ini menjadikan Rodriguez sebagai bintang besar La Liga terbaru yang mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M). Sebelum ini, nama Dani Guiza, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa pernah menjadi sebutan penyokong JDT semasa beraksi di Malaysia.
Bekas penyerang Stoke City itu menyertai Jorge Obregon, Andoni Zubiaurre, Eddy Israfilov, Park Jun-heong, Iker Undabarrena dan Enzo Lombardo sebagai tonggak import baru Harimau Selatan.
Sebelum menyertai JDT, Rodriguez beraksi untuk kelab Brazil, Coritiba. Selain Coritiba, Real Madrid dan Stoke City, beliau juga pernah beraksi untuk Sampdoria, Ankaragucu, Real Betis, Paris Saint-Germain, Las Palmas dan Sporting Lisbon.
Berdasarkan nilai semasa di Transfermarkt, nilainya kini mencecah €700,000 (RM3.9 juta). Rodriguez pernah meraih gelaran juara La Liga, Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Piala Kelab Dunia FIFA.