Bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard menjadi pemain terbaru yang berang dengan kualiti padang Stadium Piala Dunia Seoul.
Kritikan pemain sayap berusia 31 tahun itu timbul selepas aksi terbaru K-League 1 antara FC Seoul dan Suwon FC di stadium berkenaan pada 29 September lalu.
Seoul meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan tunggal penyerang Jerman, Stanislav Iljutcenko. Lingard berpeluang menambah satu lagi gol menerusi penalti pada minit ke-83 tetapi dinafikan penjaga gol Suwon, Ahn Jun-su.
Keputusan ini menyaksikan Seoul menduduki tangga keempat liga dengan 50 mata, dua mata di hadapan Suwon yang menduduki tangga keenam.
Meskipun gembira melihat pasukannya berada dalam kelompok empat pasukan teratas liga, Lingard tidak berpuas hati dengan kualiti padang Stadium Piala Dunia Seoul.
Ini kerana keadaan padang yang buruk menjejaskan kualiti corak permainan yang cuba diterapkan jurulatih Seoul, Kim Gi-dong.
“Dalam Liga Perdana Inggeris, anda tidak perlu risau bola sama ada akan sampai ke kaki anda dengan betul atau tidak.
“Tetapi di sini (Stadium Piala Dunia Seoul), anda perlu berfikir tentang hal itu terlebih dahulu. Padang yang bagus amat penting untuk bola sepak yang bagus,” katanya seperti yang dilaporkan Korea Football News.
Ini bukan kali pertama kualiti padang stadium berkenaan mendapat kritikan pemain. Terdahulu, kapten Korea Selatan, Son Heung-min turut meluahkan rasa tidak puas hati tentang mutu padang Stadium Piala Dunia Seoul.
Malah, kapten Tottenham Hotspur itu menyifatkan padang lawan mereka dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026, Oman jauh lebih baik daripada padang stadium tersebut.
Kualiti padang Stadium Piala Dunia Seoul tidak dibantu dengan penganjuran konsert jelajah dunia penyanyi Korea Selatan, IU yang diadakan baru-baru ini.
Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) mengumumkan Stadium Mireu Yongin sebagai venue alternatif untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara Korea Selatan dan Iraq pada Oktober ini.