Bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard muncul penerima gaji tertinggi K-League 1 untuk musim 2024.
Ini berdasarkan statistik nilai gaji tertinggi lima pemain import dan lima pemain domestik K-League 1 yang dikongsikan Korea Football News.
Lingard, 32, menerima gaji sekitar AS$1.26 juta (RM5.6 juta) semusim daripada FC Seoul. Beliau disusuli penyerang Brazil yang beraksi untuk FC Daegu, Cesinha yang menerima AS$1.19 juta (RM5.3 juta).
Dua tonggak Incheon United, Stefan Mugosa dan Gerso Fernandes masing-masing meraih AS$1.06 juta (RM4.7 juta) dan AS$990,000 (RM4.4 juta). Rakan sepasukan Lingard, Stanislav Iljutcenko menerima gaji sebanyak AS$990,000 (RM4.4 juta).
Dua tonggak Ulsan HD, Jo Hyeon-woo dan Kim Young-gwon merupakan penerima gaji tertinggi untuk kategori pemain domestik K-League 1.
Bersesuaian dengan status mereka sebagai tonggak utama The Tigers, kedua-duanya masing-masing menerima gaji AS$1.03 juta (RM4.6 juta) dan AS$1 juta (RM4.4 juta).
Gaji yang diterima Hyeon-woo dan Young-gwon turut meletakkan mereka berada di belakang Lingard, Cesinha dan Mugosa dari segi gaji tertinggi liga.
Trio pemain Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Jin-su, Lee Seung-woo dan Park Jin-seob melengkapkan kedudukan lima penerima gaji tertinggi domestik K-League 1.
Jin-su, Seung-woo dan Jin-seob masing-masing menerima gaji sebanyak AS$950,000 (RM4.2 juta), AS$930,000 (RM4.1 juta) dan AS$810,000 (RM3.6 juta).
Nilai gaji yang dibelanjakan Ulsan, FC Seoul dan Jeonbuk turut menyaksikan ketiga-tiga pasukan itu memiliki perbelanjaan gaji paling tinggi dalam K-League 1.
Ulsan dan Jeonbuk masing-masing membelanjakan AS$14.41 juta (RM64.3 juta) dan AS$14.07 juta (RM62.8 juta). FC Seoul di tempat ketiga dengan nilai perbelanjaan AS$10.21 juta (RM45.6 juta).
Perbelanjaan ini dijangka meningkat apabila K-League 1 musim 2025 bermula. Ulsan dilaporkan mengintai beberapa pemain berkualiti termasuk pemain tengah Sepanyol, Cristian Salvador.
Jeonbuk dijangka lebih sibuk selepas memuktamadkan pelantikan legenda Tottenham Hotspur, Gus Poyet. FC Seoul juga dijangka berbuat demikian selepas layak ke aksi playoff saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).